Thursday, September 2, 2010

Retret Tahunan Kateketikal 2010/ Catechetical Annual Retreat

BUNDU TUHAN: “IBUBAPA SEBAGAI KATEKIS UTAMA”, demikianlah tema retret tahunan Komisi Kateketikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu bersama AJK Tertinggi Komiti kateketikal Paroki yang telah diadakan pada 30 Julai sehingga 1 Ogos 2010 yang lalu, bertempat di Pusat Retret, Bundu Tuhan. Disamping retret tahunan, Komisi telah mencipta sejarah dengan pelancaran blog Komisi (http:// catecheticalkkarchdiocese.blogspot.com) dan majalah Komisi Vivit Dominus. Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Rev. Fr. Boniface Kimsin selaku Pengerusi Komisi Kateketikal Malaysia dan pembimbing retret Kateketikal pada tahun ini.

Ibubapa sebagai katekis utama yang mana merupakan tema bagi Minggu Kateketikal di seluruh Malaysia pada tahun ini telah dipilih sebagai persiapan para katekis (para pembimbing Minggu Gembira/IKD) untuk sambutan Minggu kateketikal pada 19 September 2010. Seramai 200 warga katekis diseluruh keuskupan telah menyertai retret ini. Ramai peserta yang menyertai retret ini merupakan muka-muka baru dalam pelayanan kateketikal. Kehadiran mereka pada kali ini telah memberi kegembiraan kepada Komisi kerana ia merupakan petanda positif bahawa umat semakin membuka hati untuk menyahut panggilan Tuhan dalam pelayanan sebagai seorang katekis.

Pada hari pertama retret, Rev. Fr. Boniface telah membawa para katekis kembali kepada teologi Misi dan Penginjilan. Antara lain yang ditakankan oleh beliau dalam pembukaan sesi adalah: Misi merupakan pekerjaan Allah sendiri. Dialah yang mengambil inisiatif yang pertama dalam misi dengan memilih dan memanggil para utusan-Nya. Melalui perlantikan oleh Paderi setempat, para katekis secara langsung dipanggil dan diutus oleh allah untuk mewartakan Misi-Nya. Apakah Misi Allah yang dimaskudkan? Rev. Fr. Boniface menyatakan dengan jelas bahawa seluruh Perjanjian baru adalan pernyataan tentang pewartaan keselamatan yang dilaksanakan oleh Yesus Kristus melalui perkataan dan perbuatan-Nya. Misi penyelamatan Yesus Kristus disempurnakan oleh-Nya sendiri melalui kematian dan kebangkitan-Nya. Inilah yang harus diwartakan oleh para murid-Nya sampai Dia datang kembali pada akhir zaman. Pada hari kedua, Rev. Fr. Boniface telah menyampaikan sesinya: Ibubapa sebagai katekis utama; Iman menurut Ajaran Gereja Katolik; Keutamaan dalam katekesis dan cabaran-cabaran dalam katekesis. Diakhir retret tersebut, Rev. Fr. Boniface telah memberi tips-tips tentang sikap yang seharusnya ada pada seorang Katekis untuk memantapkan pelayanan dalam kateketikal. Taat berdoa, mencintai iman, persiapan awal, interaksi yang baik, jenaka, mempunyai minat untuk terus belajar dan mempunyai sikap menghormati. Itulah sikap-sikap yang seharusnya tertanam dalam jiwa sebagai seorang katekis.

Sr. Dariah Ajap, fsic selaku Koordinator Komisi Kateketikal Keuskupan Agung K. Kinabalu dalam ucapan penutupnya, menyeru agar setiap katekis yang telah menyertai retret ini dapat mengongsikan pengalaman dan pengetahuan yang mereka perolehi kepada para ibubapadi paroki masing-masing agar mereka menyedari bahawa merekalah katekis utama dalam keluarga.