Thursday, April 1, 2010

INISIASI KANAK-KANAK (IKK)

INISIASI KRISTIAN KANAK-KANAK (IKK)(Ruj. The Rite of Christian Initiation of Adults, no.242-306)

Inisiasi Kristian kanak-kanak (IKK) terkandung dalam bahagian kedua Inisiasi Kristian Dewasa yang diterbitkan pada tahun 1972. Inisiasi Kristian kanak-kanak ditujukan kepada kanak-kanak yang belum dibaptis dan sudah mencapai umur di mana mereka boleh menggunakan akal budi (7 tahun ke atas) – mereka dapat membezakan yang benar dan tidak benar; boleh menerima dan bertumbuh dalam iman serta bertanggungjawab. Atas inisiatif sendiri dan atas persetujuan ibubapa atau penjaga mereka mengikuti Inisiasi Kristian.

Seperti dalam Inisiasi Kristian Dewasa, Inisiasi Kristian Kanak-Kanak juga menuntut satu proses pertobatan dan perubahan peribadi sesuai dengan usia mereka. Proses inisiasi haruslah disesuaikan dengan perkembangan rohani mereka, maka dengan itu ianya mengambil masa beberapa tahun jika perlu, sebelum mereka menerima Sakramen Inisiasi. Seperti orang dewasa, proses yang mereka lalui ditandai dengan upacara-upacara liturgi: Upacara Penerimaan Katekumen (no. 250-266), Upacara Pemilihan (no. 267-279), dan Perayaan Sakramen Inisiasi (no. 280-305).

Upacara Penerimaan Katekumenat

Upacara penerimaan katekumen mengandaikan permulaan kesedaran iman dan kepercayaan akan Yesus Kristus. Upacara ini juga menyahut kanak-kanak meluahkan keinginan mereka untuk bersama dengan keluarga Kristian dan memasuki pengetahuan mendalam tentang Yesus Kristus. Kanak-kanak dipersembahkan dengan 2 simbol utama komuniti Kristian: Salib dan Alkitab, sebagai panduan dalam perjalanan mendalami iman mereka.

Berdasarkan upacara ini, jangkamasa pertanyaan sebelum itu adalah untuk membangkitkan iman. Ianya adalah masa dimana kanak-kanak dan komuniti mengenali antara satu sama lain dan satu peluang bagi kanak-kanak untuk mengemukakan soalan-soalan asas. Masa ini juga membantu kanak-kanak untuk belajar apa erti menjadi ”seperti Kristus” apabila katekis menawarkan cerita tentang kehidupan kristian. Persekitaran yang sihat boleh mempengaruhi perkembangan iman kanak-kanak.

Upacara Pemilihan

Setelah upacara Pemilihan atau Pendaftaran nama dilakasanakan diandaikan bahwa pendalaman iman katekumen telah berlaku dan mereka telah dapat menganggap diri sebagi pengikut Yesus Kristus. Sebelum uskup/paderi dapat menerima nama para katekumen untuk didaftarkan, ia akan bertanya kepada ibubapa dan penanggungnya 4 soalan: Adakah mereka iklas dalam keinginan/hajat mereka? Adakah mereka mendengar Firman Tuhan? Adakah mereka telah cuba hidup sebagai pengikutNya yang setia? Adakah mereka menyertai komuniti dalam doa dan pelayanan?

Upacara Sakramen Inisiasi

Sakramen Inisiasi bertindak sebagai Penyucian iman kanak-kanak dan perkembangan keberadaan dalam komuniti beriman. Dalam masa tahap permulaan Upacara Pembaptisan, paderi akan mendahului kanak-kanak dan kemudian diikuti oleh para penanggung mereka dan umat dalam Penolakan setan/dosa dan Penyataan Iman Kepercayaan. Sabtu Suci merupakan masa yang paling sesuai untuk upacara Sakramen Inisiasi.


DASAR-DASAR KATEKESIS

Satu proses berperingkat

Dalam dokumen Inisiasi Kristian Dewasa, no 75, menekankan proses katekesis berperingkat, satu perjalanan iman yang disesuaikan kepada keperluan, umur, budaya dan kemampuan para calon. Pertumbuhan iman dikenalpasti dan dikembangkan dalam struktur katekumenate itu sendiri. Inisiasi melibatkan beberapa masa yang ditandai oleh upacara-upacara (ritus) liturgi. Masa katekesis membawa kepada dan mengikuti tahap-tahap inisiasi. Masa katekumenate tidak ditetapkan kerana ianya bergantung kepada pertumbuhan iman dan perubahan peribadi serta keluarga kanak-kanak. Inisiasi mungkin mengambil masa selama beberapa tahun, tetapi bagi kanak-kanak yang mempunyai peluang untuk mengikuti katekesis di paroki atau di sekolah, masa katekumenate boleh dipendekkan kepada satu tahun.

Tanda Misteri Paska

Pertobatan adalah matlamat utama dalam proses inisiasi. Pertobatan melibatkan perubahan peribadi - seseorang itu mula meneliti, menilai dan menyusun kehidupannya sesuai kepada kesucian dan kasih Allah yang dinyata dalam diri Yesus Kristus. Kematian dan kebangkitan Kristus merupakan paradigma kehidupan orang-orang kristian. Maka proses Inisiasi mempersiapkan kanak-kanak untuk menghayati dan menghidupi Misteri Paska. Keseluruhan inisiasi membawa satu tanda Misteri Paska, kerana Inisiasi Kristian merupakan tanda pertama di mana seseorang itu mengambil bahagian dalam kematian dan kebangkitan Kristus.

Peranan Komuniti

Ibubapa dan komuniti paroki memainkan peranan yang amat penting dalam proses inisiasi kanak-kanak terutama sekali dalam menerima kanak-kanak masuk dalam komuniti paroki. Sekiranya ibubapa tidak mampu untuk membimbing kanak-kanak mereka maka teman-teman sebaya, sponsor, penanggung dan katekis akan memainkan peranan mereka. Sememangnya melalui komunitilah kasih Tuhan yang nyata dan konkrit dialami oleh kanak-kanak. Dalam komuniti, kanak-kanak belajar untuk berdoa, untuk mengampuni, untuk merayakan dan untuk melayani.

Pembentukan Liturgi

Pengalaman liturgi merupakan aspek yang amat penting dalam proses inisiasi kanak-kanak terutama sekali upacara-upacara yang dijalankan dalam Inisiasi Kristian Dewasa: perkumpulan, penandaan dengan salib; pewartaan Sabda; penumpangan tangan, pengurapan; pembaptisan dan perjemuan roti dan anggur. Upacara-upacara ini menimbulkan pengalaman manusiawi kanak-kanak – “aktiviti komuniti, kemampuan untuk mendengar dan untuk memohon maaf, ungkapan kesyukuran, jemuan persahabatan dan perayaan.” Tugas katekesis adalah untuk mendedahkan tanda-tanda ini, melihat asal-usul mereka dalam sejarah penyelamatan kepada pengertian dalam perayaan dan kehidupan kristiani. Tanda-tanda yang digunakan dalam upacara-upacara merupakan bahan katekesis yang penting dimana seluruh komuniti mengambil bahagian.

Ke arah misi

Proses inisiasi juga membawa kanak-kanak kearah misi. Dalam proses ini kanak-kanak seharusnya belajar untuk berkerjasama dengan orang lain dalam pelayanan. Pembaptisan, Penguatan dan Ekaristi mengarah ke arah misi. Kanak-kanak dalam peringkat perkembangan mereka mula keluar dari diri mereka dan melihat serta memperhatikan orang lain. Aktiviti-aktivi konkrit dan sesuai harus diberikan kepada mereka. Pertama-tama, kanak-kanak belajar mengongsikan melalui aksi konkrit kepada orang-orang miskin dan lapar, kepada alam sekitar, kepada perdamaian dan keadilan dunia, kepada keluarga dan kepada gereja.

PROSES KATEKESIS

Berpandukan kepada dasar-dasar katekesis diatas, katekumenat bukan hanya satu pendedahan dogma dan moral tetapi merupakan satu masa pembentukan menyeluruh hidup kristiani. Fokus utama proses jatekesis adalah pertobatan dan perubahan hidup.

Pre-Katekumenat

Masa Pre-Katekumenate adalah masa penginjilan: untuk mewartakan Allah yang hidup dan Yesus Kristus yang telah diutus demi penyelamatan semua (RCIA, 36). Tujuannya adalah untuk meneguhkan iman, untuk mengeratkan hubungan dengan Allah yang hadir ditengah-tengah komuniti beriman. Dimulai dengan teologi Sabda dan pengajaran singkat kepada bagaimana Sabda Allah ditulis (disesuaikan kepada situasi kanak-kanak). Pendedahan kepada sejarah penyelamatan semasa penginjilan atau perkataan akan menjelaskan tentang Misteri Kasih Allah seperti yang dinyatakan dalam penciptaan. Pembebasan Israel dan dinyatakan secara penuh melalui kematian dan kebangkitan Yesus Kristus. Yesus terus hadir dalam gereja melalui karya Roh Kudus, memanggil komuniti beriman kepada kekudusan dan kesetiaan.

Cadangan topik-topik katekesis

MASA 1: Pre-Katekumenate

A: Aku Percaya akan Allah Bapa Pencipta Langit dan Bumi

 Tuhan Allah menjadikan dunia dan segala isinya.

 Tuhan memelihara ciptaanNya

 Tuhan menjadikan lelaki (Adam) & perempuan (Hawa)

 Tuhan memberi saya hidup

 Mendalami dan menghayati “Tanda Salib” dan doa ”Bapa Kami”

B: Sejarah Penyelamatan

 Manusia jatuh dalam dosa

 Apa itu Dosa

 Kain & Abel

 Nabi Nuh

 Tuhan memanggil Abraham

 Abraham & anaknya Ishak (Abraham Bapa Iman)

 Yakob & anak-anakNya

 Yusuf & saudara-saudaranya

 Orang-orang Israel menderita di Mesir

 Tuhan memanggil Musa

 Orang Israel keluar dari Mesir

 Perjanjian di gunung Sinai

 10 Firman Tuhan (10 hukum kasih)

 Kasihilah Tuhan AllahMu,

 Kasihilah sesamaMu,


Katekumenate

Katekesis yang diberikan pada masa katekumenat harus disesuaikan dengan tahun liturgi dan harus disokong oleh perayaan Sabda agar katekesis sentiasa dijalankan dalam suasana doa.

Upacara-upacara, doa dan Sabda Allah merupakan sumber utama katekesis. Dalam menyampaikan katekesis, para katekis perlu melihat upacara perayaan Sabda, pengusiran setan, pemberkatan, pengurapan dan penyerahan Aku Percaya dan Bapa Kami sebagai sumber dalam katekesis mereka. Sabda yang diwartakan setiap minggu merupakan fokus utama dalam katekesis. Dalam masa yang sama katekesis tentang Aku Percaya dan Bapa kami harus diberikan kepada katekumen sebelum upacara penyerahan Aku Percaya dan Bapa Kami dijalankan.


Cadangan topik-topik katekesis

MASA 2: Katekumen

A: Aku Percaya akan Yesus Kristus

 Maria menerima khabar dari malaikat Gabriel

 Yohanes Pembaptis

 Maria melawati Elizebeth

 Mendalami dan menghayati doa ”Salam Maria”

 Kelahiran Yesus

 Yesus Putera Allah yang menjadi manusia (Zaman kanak-kanak Yesus sebagai anak tukang kayu)

 Yesus di baptis

 Yesus melakukan kehendak Bapa

 Mujizat-mujizat Yesus

 Perumpamaan-perumpamaan Yesus

 Yesus mengajar kita untuk berdoa ”BAPA KAMI”

 Yesus mengajar kita untuk mengasihi (mengampuni)

 Yesus menderita untuk kita

 Yesus mati untuk kita

 Yesus bangkit

 Yesus akan kembali

 Kehidupan kekal (surga)


B: Aku Percaya akan Roh Kudus, Gereja Katolik yang Kudus

 Yesus menjanjikan Roh Kudus

 Pentekosta

 Gereja Katolik (Umat Allah, Tubuh Kristus)

 Hierarki Gereja (perkenalkan Peranan Sri Paus, Uskup, Paderi, religious, umat awam)

 Gereja Tempatan (sejarah Diosis Kota-Kinabalu)

 Perkenalkan VISI Diosis

 Perkenalkan MISI Diosis

 Memperkenalkan 7 sakramen

 Penghayataan Doa ”Aku Percaya”

 Penghayatan Doa ”Bapa Kami”


Penyucian dan Penerangan

Katekesis dalam masa penyucian dan penerangan berlangsung sepanjang musim Pra-Paska. Masa ini merupakan persiapan terakhir sebelum mereka menerima pembaptisan. Tumpuan katekesis pada tahap ini adalah Injil yang diwartakan setiap hari minggu (bacaan Tahun A) dimana tertumpuhkan kepada pertobatan dan pembaharuan. Pada dua minggu pertama pra-paska mengingatkan kepada katekumen akan erti tahap pembentukan mereka (penyucian dan penerangan). Pembacaan-pembacaan berfokuskan pada percubaan dipadang gurun (penyucian) dan trasfigurasi / wajah Yesus berubah (penerangan). Pembacaan minggu ketiga, keempat dan kelima yang diambil dari Injil Yohanes menjelaskan tentang tanda-tanda pembaptisan – air, cahaya dan hidup. Sebagai tambahan kepada perayaan liturgi Sabda, upacara tobat juga merupakan bahan katekumen yang mana semua komuniti parodi mengambil bahagian.


Cadangan topik-topik katekesis

MASA 3: Penyucian & Penerangan

A: Pertobatan dan Pembaharuan

 Penghayatan Sakramen Pertobatan

 Pembaharuan dan perubahan hidup

 Sakramen Pembaptisan (Erti - Air )

 Sakramen Pembaptisan (Erti – Cahaya/lilin)

 Sakramen Pembaptisan (Kehidupan Baru)

 Retret Persiapan sebelum menerima sakramen inisiasi.

Mystagogi

Katekesis berpusatkan kepada Sabda Tuhan setiap Ahad (sepanjang musim Paksa). Bacaan Mingguan membantu kanak-kanak yang baru dibaptis untuk mendalami iman mereka. Gambaran tentang Cahaya, Roti, gembala membawa kanak-kanak untuk menghayati janji yang mereka ungkapkan ketika mereka dibaptis. Pada masa inilah juga mereka didedahkan tentang kehidupan mengereja dan membawa mereka menyedari bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam perkembangan gereja/paroki.

Cadangan topik-topik katekesis

MASA 4: Mistagogi (Pendalaman Iman)

• Menghadiri perayaan Ekaristi setiap Minggu

• Renungan & Perkongsian Sabda Tuhan

• Menghayati Ekaristi

 Tahun Ekaristi

 Mengenal pasti tanda-tanda yang digunakan dalam perayaan Ekaristi

 Menghayati perjalanan Misa Kudus

• Kehidupan mengereja (tanggungjawab baptisan baru sebagai anak-anak Tuhan)

 Melibatkan diri dalam kehidupan gereja/paroki


Note: Selepas pentekosta kanak-kanak akan mengikuti Pertemuan Minggu Gembira.

No comments: