Wednesday, March 16, 2011

UPACARA PENERIMAAN / RITE OF ELECTION 13 MARCH 2011

SERAMAI 939…. DITERIMA DALAM UPACARA PEMILIHAN 2011 KEUSKUPAN AGUNG KOTA KINABALU


KOTA KINABALU: Pada 13 Mac 2011 yang lalu, bersamaan dengan Minggu Pertama Musim Puasa, seramai 939 katekumen telah diterima di seluruh diosis agung Kota Kinabalu tidak termasuk kanak-kanak. Seramai 650 katekumen telah diterima di Katedral Hati Kudus dan seramai 289 lagi para katekumen telah diterima di paroki masing-masing yang tidak dapat hadir ke upacara di Katedral Hati Kudus kerana keadaan paroki yang agak jauh.

Untuk pertama kalinya dalam sejarah diosis agung Kota Kinabalu, Upacara Pemilihan (IKD) serentak telah diadakan di Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu. Upacara yang julungkalinya diadakan sediosis telah disempurnakan oleh Yang Mulia Uskup Agung John Lee, dibantu oleh Coadjutor Uskup Agung John Wong. Seramai 8 orang paderi paroki telah hadir untuk menyerahkan para katekumen mereka kepada Uskup Agung. Mereka adalah Msgr. Primus Jouil dan Fr. Johny Raju dari Katedral Hati Kudus, Fr. Alex Sipanul dari St Michael Penampang, Fr. Aloysius Fidelis dari St. Joseph Papar, Fr. Fundes Motiung dari Stella Maris Tg. Aru, Fr. David Sham dan Fr. Sunny Chung dari St. Catherine Inanam dan Fr. Nicholas Stephen dari paroki St. John, Tuaran.

Cuaca begitu baik pada hari itu dan kelihatan para katekumen dan umat telah mulai datang sebelum jam 2.00 petang dan memenuhi ruang gereja tersebut. Sebelum Upacara dijalankan, taklimat dan raptai telah diadakan yang diketuai oleh Koordinator Komisi Kateketikal, Sr. Dariah Ajap, fsic dan Fr. Nicholas Stephen selaku Penasihat Rohani Komisi Kateketikal.

Tepat pada jam 4.00 petang, Upacara Pemilihan telah dimulakan dengan perarakan masuk ke Gereja. Dalam kata pembukaannya, Uskup Agung telah mengalu-alukan kehadiran para paderi, para katekumen dan umat semua. Dengan perasaan gembira melihat ramai umat berkumpul memenuhi setiap ruang, beliau telah menerangkan bahawa upacara Pemilihan seharusnya disempurnakan oleh Uskup sebagai Gembala Gereja. Beliau juga menerangkan bahawa tahap ini dipanggil “PEMILIHAN” kerana penerimaan katekumen yang dibuat oleh Gereja adalah berasaskan pemilihan oleh Tuhan sendiri yang menguasai Gereja bertindak atas nama-Nya. Upacara ini tidak dapat dijalankan di peringkat diosis agung sebelum ini disebabkan oleh keadaan geografi yang sangat luas, maka ia dilakukan di peringkat paroki sahaja.

Dalam homili, beliau telah menerangkan akan ketiga-tiga pembacaan yang di ambil dari Minggu Pertama Pra Paska Tahun A. Beliau telah menasihati para katekumen agar benar-benar bersedia untuk menerima Sakramen Inisiasi. Katanya, “Tanpa persiapan yang baik, maka perayaan ini tidak akan bererti. Oleh itu sebagai umat-umat pilihan Tuhan, hendaklah anda semua tahu dan bijak memilih yang baik dan menjauhi apa yang membuatkan anda berdosa, kerana dosa memisahkan kita dengan Tuhan.” Uskup juga mengingatkan bahawa adalah tidak mudah untuk menjadi pengikut Yesus, terdapat banyak jenis godaan-godaan dan cabaran-cabaran (kuasa, kedudukan dan kekayaan dunia) yang akan dihadapi. Oleh itu kita haruslah sentiasa bersandar dan berdoa agar kuasa dan Roh Tuhan membimbing kita ke jalan yang benar. Uskup Agung juga menekankan kepada para katekumen bahawa melalui sakramen Pembaptisan yang akan mereka terima, akan mengangkat martabat mereka sebagai anak-anak yang dikasihi.

Setelah homilinya yang disampaikan dalam tiga bahasa, Upacara telah diteruskan dengan upacara
penyerahan calon di mana paderi-delegat, Fr. Nicholas Stephen, telah menjemput para calon dari sebelas paroki dan dua sub-paroki untuk berdiri sebagai tanda penyerahan mereka kepada Uskup Agung. Upacara telah diteruskan dengan Upacara Pendaftaran nama di mana setiap paderi paroki telah menemani para Koordinator kateketikal paroki mereka untuk menyerahkan Buku Para Pilihan kepada Uskup Agung. Upacara singkat tetapi penuh bermakna ini telah diakhiri dengan menandatangani Buku Para Pilihan oleh Uskup Agung dan menyerahkannya kembali kepada paroki masing-masing. Upacara telah diakhiri dengan sesi bergambar bersama Uskup Agung, para paderi, para pilihan serta ahli-ahli Komisi Kateketikal. Jamuan minum ringan juga telah disediakan untuk semua.



Pengalaman dan perkongsian singkat dari para pilihan….

Sebahagian para calon dari Stella Maris, Tg. Aru

Melalui perkongsian beberapa para pilihan/calon baptis dari beberapa paroki, mereka mengungkapkan perasaan gembira yang tak terhingga kerana dapat menyertai upacara pemilihan ini di Katedral hati Kudus. Kata mereka, “Upacara ini sangat bererti bagi kami kerana Uskup Agung sendiri yang telah menyempurnakan upacara ini serta memilih kami sebagai para pilihan Tuhan. Ini bererti bahawa kami haruslah serius dalam perjalanan iman kami dan perlu membuat persiapan yang baik untuk menerima Sakramen Inisiasi yang akan datang.”

Fr. Johny Raju  bergambar bersama dengan para pembimbing
dan  para calon dari Paroki St. Paul Dontozidon
Ada pula yang mengatakan, “Apabila berkumpul bersama dengan umat dari paroki lain, ia lebih memberikan kami semangat untuk meneruskan perjalanan iman kami…ia sangat meriah dan perkara yang baik seperti ini haruslah diteruskan di masa-masa akan datang.”   “Pengalaman ini begitu indah sekali, dapat rasakan kesatuan sediosis, mendapat sokongan serta kerjasama daripada paderi paroki dengan kehadiran mereka di situ, merasa puashati melakukan yang terbaik, walaupun pada mulanya agak mencabar untuk membuat persiapan ke upacara ini”. “Satu usaha yang baik ke arah keseragaman se diosis…”. Beberapa calon baptis menyatakan bahawa sekarang mereka faham mengapa Uskup Agung sendiri yang menerima ‘pencalonan’ mereka.

sebahagian para calon dari St. Joseph Papar




No comments: