Minggu Katekatikal 2011
Berakar dan dibangun di atas Yesus Kristus dan teguh dalam iman (Kol 2:7)
Tema Minggu Katekatikal kita pada tahun ini akan memberi fokus kepada mesej Bapa Suci Benediktus XVI pada Hari Belia Sedunia yang akan dianjurkan di ibu negeri Sepanyol iaitu Madrid pada bulan Ogos 2011. Tema yang dipetik dari Kolose 2:7 adalah “Berakar dan dibangun di atas Yesus Kristus dan teguh dalam iman”.
Media massa menghubungkan segenap penjuru dunia. Ini memberikan kita peluang untuk melihat apa yang berlaku di serata dunia. Jika kita lihat pada globalisasi dunia kita pada masa kini, kita berdepan dengan masalah manusia sejagat, perkauman dan iman. Manusia mempunyai kecenderungan untuk mengetepikan Allah dari kehidupan dengan berkerja tanpa campurtangan Allah. Dalam usaha untuk menghidupi kepentingan masa kini, iaitu untuk selalu menjadi nombor satu adalah suatu kemestian dan ukuran kejayaan, semua benda lain menjadi tidak berguna dan kehilangan erti. Mereka mendapati bahawa mereka hidup dalam dunia yang kosong dan tanpa tujuan hanya kerana mereka berfikir bahawa mereka boleh hidup tanpa Allah. Dalam mesej kepada para belia, Bapa Suci menggalakkan mereka untuk mengukuhkan iman mereka dalam Allah yakni Bapa kepada Tuhan kita Yesus Kristus. Dia berkata, “Kamu adalah masa hadapan masyarakat dan Gereja!” Seperti yang ditulis oleh Rasul Paulus kepada jemaat di Kolose, ia adalah amat penting untuk berakar secara teguh, suatu asas yang kuat! Terutamanya dalam dunia masa kini! Keinginan untuk suatu kehidupan yang lebih bermakna merupakan suatu petunjuk bahawa Allah tela mencipta kita dan kita membawa bersama kita “tanda”-Nya dalam diri kita. Kita semua “dipanggil untuk bersatu dengan Allah. Jemputan panggilan untuk berbicara dengan Allah sudah diberikan kepada manusia sebaik sahaja dia wujud di dunia ini. Ini adalah kerana manusia wujud kerana Allah telah menciptannya atas dasar cinta dan kerana cinta inilah manusia terus wujud. Dia tidak akan dapat hidup dengan sepenuhnya berdasarkan kebenaran jika dia tidak mengakui cinta tersebut serta menyerahkan dirinya dengan penuh kepercayaan kepada penciptanya (Gaudium et Spes 19§I). Perbuatan menyisihkan Allah adalah perbuatan menyisihkan diri kita dari sumber kehidupan dan secara langsung menghalang diri kita dari menikmati kepenuhan dan kegembiraan: “tanpa pencipta, ciptaan hilang dalam kekosongan” (Gaudium et Spes 36).
Untuk menegaskan kepentingan iman dalam kehidupan, Bapa Suci Benediktus XVI sekali lagi membantu kita untuk merenung pada setiap tiga perkataan yang digunakan oleh Santo Paulus: “Berakar dan dibangun di atas Yesus Kristus dan teguh dalam iman” (ruj. Kol 2:7). Ini bermakna bahawa iman kita haruslah berakar dalam Kristus kerana dia adalah sumber pengharapan, kehidupan dan cintakasih. “Diberkatilah orang yang mengandalkan TUHAN, yang menaruh harapannya pada TUHAN! Ia akan seperti pohon yang ditanam di tepi air, yang merambatkan akar-akarnya ke tepi batang air, dan yang tidak mengalami datangnya panas terik, yang daunnya tetap hijau, yang tidak kuatir dalam tahun kering, dan yang tidak berhenti menghasilkan buah” (Yer 17:7-8). Bagi nabi tersebut, merambatkan akar-akarnya bermakna meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Allah. Tanpa Dia, kita tidak dapat hidup secara sepenuhnya. Bapa Suci Benediktus XVI berkata dalam homilinya, “Kehidupan sebenar bermula hanya apabila Allah ditemui. Kita hanya dapat mengetahui erti kehidupan apabila kita bertemu dengan Allah yang hidup dalam diri Kristus. Kita bukanlah suatu hasil evolusi yang bersahaja dan tidak bermakna. Setiap kita adalah hasil buah fikiran Allah. Setiap kita diingini, setiap kita dicintai, setiap kita adalah penting” (Mass, Imposition of the Pallium and Conferral of the Fisherman’s Ring for the Beginning of the Petrine Ministry of the Bishop of Rome, 24th April 2005). “Allah telah mengaruniakan hidup yang kekal k
Dalam merayakan Mingu Katekatikal, marilah kita memfokuskan minda dan hati kita kepada Yesus Kristus Tuhan kita dengan kembali kepada asas iman kita. Seperti yang Bapa Suci katakan, “Sama seperti akar kepada pokok yang meneguhkan kedudukannya di atas tanah, begitu juga asas kepada rumah yang memberikan kestabilan yang kekal. Melalui iman, kita dibangun dalam Kristus, seperti rumah dibina atas asas yang kukuh. Sejarah Suci memberikan banyak contoh santo dan santa yang telah membangun kehidupan mereka berdasarkan Sabda Allah. Dibangun dalam Kristus bermaksud memberi respon positif kepada panggilan Allah, mempercayai Dia dan melakukan apa yang disabdakan-Nya”.
Sememangnya terdapat arus pemikiran sekularis yang kuat dengan tujuan untuk mengetepikan Allah dari kehidupan manusia dan masyarakat. Ia mencadangkan dan cuba merealisasikan suatu “syurga” tanpa Dia. Namun demikian, pengalaman memberitahu kita bahawa dunia tanpa Allah menjadi “neraka”: Dunia yang dipenuhi sikap mementingkan diri sendiri, keluarga yang berpecah, kebencian antara individu dan negara, dan kekurangan cintakasih, kegembiraan dan harapan. Jika dibandingkan dengan mana-mana individu dan negara yang menerima kehadiran Allah, menyembah-Nya dalam kebenaran dan mendengar kepada bisikan-Nya, maka tamadun yang mempunyai cintakasih dibangun. Ia adalah suatu tamadun yang mana maruah semua orang dihormati, kesatuan meningkat dengan segala kebaikkannya. Martabat manusia terletak pada panggilannya untuk memasuki persekutuan dengan Allah (Gaudium et Spes 19§1). Terdapat juga umat Kristian yang membiarkan diri mereka untuk dipengaruhi oleh sekularisme atau tertarik oleh arus religes yang menhanyutkan mereka jauh dari beriman dalam Kristus. Terdapat juga mereka yang, walaupun tidak tunduk kepada semua godaan serta tarikan tersebut, telah membiarkan iman mereka menjadi lemah tanpa berbuat apa-apa. Ini mengakibatkan kesan negatif yang tidak dapat dielakkan pada kehidupan moral mereka. Agar dapat teguh dalam iman, Bapa Suci menasihatkan semua untuk belajar “melihat” dan “bertemu” dengan Yesus dalam Ekaristi kerana di sinilah Dia benar-benar hadir dan rapat dengan kita. Malah Dia menjadi santapan untuk perjalanan kita. Dalam Sakramen Pengakuan, Tuhan menyatakan Belas Kasihan-Nya dan selalu mengurniakan kita Pengampunan-Nya. Kenali dan layani Yesus dalam diri mereka yang miskin, sakit, dan dalam saudara saudari kita yang berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan. Masuklah ke dalam perbualan peribadi dengan Yesus Kristus dan jagalah ia dalam iman. Kenali Dia dengan lebih baik melalui perbuatan pembacaan Injil dan Katekismus Gereja Katolik. Berbual dengan dia melalui doa dan percayalah akan Dia. Dia tidak akan mengkhianati kepercayaan itu!
Dengan melihat kepada sejarah Gereja, para santi dan martir selalu mendapat kekuatan dari kemuliaan Salib Kristus agar mereka terus setia kepada Allah. Ini sangat nyata hinggakan mereka sanggup mengorbankan nyawa. Dalam iman, mereka menemui kekuatan untuk mengatasi kelemahan dan mendapat kemenangan ke atas musuh. Kemenangan yang lahir dari iman adalah kemenangan cintakasih. Masih terdapat umat Kristian yang merupakan saksi hidup kepada kekuatan iman yang ditunjukkan melalui kerja amal.
Dalam merayakan Minggu Kateketikal tahun ini, marilah sebagai katekis dan umat Kristian menjadi terang dan garam dunia sebab Kristus bukan hanya dikhaskan bagi kita sahaja. Dia merupakan harta karun yang paling berharga bagi kita semua. Dia merupakan seseorang yang harus diperkongsikan kepada semua. Dalam era globalisasi, marilah menjadi saksi harapan Kristian kepada semua keluarga dan semua orang di serata dunia. Bapa Suci berkata, “Tidak ada yang lebih indah dari menemui kejutan dalam Injil, iaitu pertemuan dengan Kristus. Tidak ada yang lebih indah dari mengenali Dia dan berkongsi dengan orang lain tentang persahabatan kita dengan Dia” (Mass, Imposition of the Pallium and Conferral of the Fisherman’s Ring for the Beginning of the Petrine Ministry of the Bishop of Rome, 24th April 2005). Harapan ini datang dari pertemua peribadi dan persahabatan kita dengan Dia. Terdapat ramai yang menantikan untuk menerima harapan ini!
Dengan cara yang sama, Bapa Suci berkata, “Jika kamu percaya dan jika kamu dapat menghidupi iman dan bersaksi setiap hari, kamu akan menjadi alat untuk membantu orang lain seperti juga dengan diri kamu sendiri agar mereka juga menemukan erti dan kegembiraan dalam hidup. Semua ini hanya lahir dari pertemuan peribadi dengan Kristus! Oleh itu marilah kita merayakan Minggu Kateketikal dengan penuh makna iaitu dengan kembali kepada dasar iman kita yakni Yesus Kristus Tuhan kita.
Cadangan praktikal untuk aktiviti sempena Minggu Kateketikal 2011:
1. Mengadakan bengkel “Lectio Divina” diperingkat KKD/KUK/Zon/Paroki.
2. Untuk para Pelajar Menengah Atas: adakan KKS 7 langkah atau menulis renungan mengenai petikan (Mat 4:1-11)
3. Untuk para Pelajar Menengah Rendah: adakan KKS 7 langkah atau melakunkan mengenai petikan (Luke 19: 1-10)
4. Untuk para Pelajar Sekolah Rendah:
• Anjurkan pertandingan membaca Alkitab bagi tahun 4,5 & 6,
• Anjurkan pertandingan melukis atau mewarni gambar Yesus bersama-sama dengan kanak-kanak.
5. Mengadakan pembaharuan komitmen kepada semua katekis pembimbing dalam Misa Kudus
dan memberi Sijil Penghargaan untuk mereka.
6. Merenung dan memperdalamkan iman Tentang Tuhan Yesus dengan mempelajari petikan dari Katekismus Katolik Bab 2, no 422-682
7. Mengadakan pertandingan mencipta “Youtube” tentang Sabda Tuhan yang memberi hidup dan semangat dalam keluarga dan peribadi.
8. Adakan program yang bersesuaian menurut kemampuan dan kreativiti setiap paroki.
Disediakan oleh,
Rev. Fr. Nicholas Stephen
St. John’s Church Tuaran, Sabah
Pembimbing Rohani Komisi Kateketikal
Keuskupan Kota Kinabalu
No comments:
Post a Comment