Pengalaman
melawat Kg Sonsogon, Kota Marudu
Kota Marudu: Pada 18hb dan 19hb Mac yang lalu, saya
bersama-sama dengan beberapa orang dari Kota Kinabalu telah melawat ke kampung Sonsogon,
Kota Marudu. Kawasan ini terlalu jauh
untuk dijangkau memandangkan keadaan geografinya yang berbukit bukau. Suatu perjalanan
yang amat mencabar dan menguji iman. Ia memerlukan lebih dari 3 jam untuk
sampai ke situ dengan menaiki kereta 4WD jika keadaan cuaca yang baik.
Selain daripada melawat sekolah tadika di
situ, kami juga berkesempatan untuk memberikan katekesis kepada umat-umat di kampung
tersebut. Dalam katekesis itu, kami
telah menerangkan tentang cabaran-cabaran Iman Katolik pada hari ini iaitu
penukaran agama yang berleluasa dan tarikan duniawi yang begitu canggih yang
boleh membuat umat lupa akan Tuhan. Makna
pra-paska dan Paska juga telah diterangkan kepada mereka. Dalam pertemuan singkat ini, umat sangat gembira dan
menghargai mendapat sedikit pengalaman baru.
Mereka menyuarakan berbagai persoalan berkaitan dengan kehidupan
Kristiani serta
keperluan untuk mengadakan sesi pendalaman iman Katolik di
masa-masa akan datang. Pemahaman mereka
tentang iman Katolik sangatlah kurang. Mereka juga memerlukan sumbangan bahan-bahan
bacaan kerohanian dan Alkitab untuk memantapkan iman mereka. Tidak hairanlah
kalau mereka mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran kekayaan yang memenuhi keperluan harian mereka, yang berupa wang ringgit, kebendaan dan kemudahan asas.
Lebih kurang 400 orang yang
menetap di situ dan majoritinya telah dibaptis Katolik. Kita
bersyukur kerana ada umat seperti saudara Alpheus yang telah menerokai tempat
ini sehinggalah iman Katolik tersebar ke kawasan terpencil ini. Kita juga
bersyukur kepada Tuhan atas komitmen mendiang Bro. Herbertus Gompuk yang telah bersama-sama
dengan umat di situ selama 10 tahun untuk mengajar mereka tentang kebersihan,
bercucuk tanam dan belajar untuk berdikari. Jasa mendiang akan tetap dikenang
oleh umat di Kg. Sonsogon kerana telah membawa perubahan cara hidup yang lebih
baik pada hari ini. Diharap semangat
missionari tempat ini akan diteruskan oleh generasi hari ini. Tuhan memberkati.