Wednesday, July 10, 2013

PESAN SEMPENA MINGGU KATEKETIKAL MALAYSIA, 2013

PESAN SEMPENA MINGGU KATEKETIKAL MALAYSIA, 2013

BERSATU DALAM KRISTUS, BERSAKSI BAGI DIA

Minggu Kateketikal tahun 2013 akan disambut dan dirayakan pada 22 September ini. Tema yang digunakan mencabar kita  para Katekis Pembimbing, dan para Katekumen pada amnya serta Komuniti Umat Kristian pada keseluruhannya.

Menjadi seorang pengikut Kristus tidaklah cukup dengan hanya mendaftar diri menjadi seorang katekumen dan akhirnya dibaptis. Mengimani Kristus adalah bersifat proses membangun relasi atau kesatuan yang akrab dengan peribadi Kristus (Yoh. 15:4-5).

Melalui Sakramen Pembaptisan seseorang memilih secara tahu dan mahu, menerima Kristus selaku Tuhannya. Akan tetapi kita juga perlu menyedari bahawa menerima dan mengikuti Kristus menuntut kita menjadi saksi-saksi-Nya (Mat. 28:19). Namun hanya apabila kesatuan dengan Kristus terjalin maka kita akan dapat bersaksi bagi Dia. “Tanpa Aku kamu tidak dapat berbuat apa-apa” (Yoh. 15:5).

Agar sentiasa dapat bersatu dan bersaksi bagi Kristus kita juga perlu taat menggunakan kuasa Roh Kudus yang melengkapi kita dengan kuasa, kasih dan kekuatan untuk mengawal diri” (2Tim. 1:6-7).

Pesan Bonda Maria, “Lakukanlah apa sahaja yang dikatakan-Nya kepada kamu” (Yoh. 2:6), perlu kita sedari dan taati agar kita sentiasa dapat bersaksi bagi Kristus.

Kita berterima kasih kepada Fr. Mark Michael kerana telah menyediakan Renungan sempena Minggu Kateketikal kali ini.

Selamat Menyambut Minggu Kateketikal.

+Bishop Datuk Cornelius Piong

President, Malaysian Catechetical Commission

No comments: