MATLAMAT, OBJEKTIF DAN SPIRITUALITAS
Siri Kateketikal Malaysia telah diterbitkan untuk memenuhi permintaan para ibu bapa, para katekis dan para paderi yang inginkan satu siri kateketikal tempatan berikutan dengan penerbitan Katekismus Gereja Katolik. Siri ini terdiri dari 11 buah buku untuk peserta katekesis dari katekesis dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Siri ini juga dilengkapi dengan satu set buku panduan para katekis.
MATLAMAT
General Directory for Catechesis (GDC) menyatakan bahawa “MATLAMAT utama katekesis bukan hanya membawa orang untuk berhubung dengan Tuhan tetapi juga membawa mereka dalam persekutuan dan mempunyai hubungan yang intim dengan Yesus Kristus” (GDC, n. 82). Hanya bila kita mempunyai hubungan yang intim dengan Yesus kita dapat satukan diri kita secara mendalam dengan:
- Allah BapaNya, yang telah mengutusNya ke dunia,
- Roh Kudus, yang mendorong misiNya
- Gereja TubuhNya, yang mana Dia serahkan nyawaNya dan
- Saudara-saudariNya, yang mana Dia mahu berkongsi kehidupan mereka.
Oleh yang demikian, matlamat Siri Kateketikal ini bukan hanya membimbing paserta katekesis untuk mengenali dan berkembang dalam kesatuan dengan Yesus Kristus tetapi juga untuk mengakui dan menghidupi iman Gereja Katolik dalam Allah Bapa, Putera dan Roh Kudus (GDC, n. 81).
OBJEKTIF
Objektif siri ini adalah untuk membantu para peserta katekesis untuk:
- menyedari martabat mereka sebagai peribadi manusia diciptakan mengikut gambar dan rupa Allah;
- merenung secara mendalam kehadiran Tuhan Allah dalam kehidupan mereka dan menjawab KasihNya dengan mencintai Allah dengan segenap hati, fikiran dan kekuatan, dan mencintai orang lain seperti mereka mencintai diri mereka sendiri.
- mengungkapkan persekutuan mereka dengan Yesus Kristus di dalam Roh Kudus dengan:
bertumbuh dalam Iman, Pengharapan dan Cintakasih,
melibatkan diri secara aktif dalam liturgi, dalam doa peribadi dan komuniti, dan dalam hidup dan misi Gereja.
- menyedari realiti sosial, politik, keagamaan, kebudayaan dan alam sekitar yang berlaku disekeliling mereka, dan membantu mereka menjawab realiti-realiti ini berdasarkan kepada iman mereka;
- menghafal beberapa formula utama dan teks Kitab Suci, doktin Gereja dan doa-doa Gereja.
SPIRITUALITAS
Pada permulaan milenium baru, Bapa Suci Yohannes Yohannes Paulus II menyatakan bahawa cabaran yang paling besar dihadapi oleh Gereja ialah untuk menjadikan Gereja “rumah dan sekolah persekutuan”. Bapa Suci menjelaskan spiritualitas persekutuan seperti berikut:
- Ia melibatkan kontemplasi kita akan misteri Trinitas yang tinggal dalam kita dan kita harus mampu untuk melihat misteri ini dalam diri orang lain.
- Kemampuan untuk memikirkan orang lain dalam iman dalam kesatuan Tubuh Mistik, dan ini membolehkan kita untuk berkongsi kegembiraan dan penderitaan mereka, merasakan keinginan mereka, memenuhi keperluan mereka dan menjalinkan persahabatan yang sejati dengan mereka.
- Kemampuan untuk melihat apa yang baik dalam diri orang lain.
- Tahu bagaimana untuk “memberi ruang” kepada orang lain, sama-sama memikul beban dan melawan percubaan-percubaan yang selalu mencabar dan membangkitkan persaingan, mementingkan diri sendiri, ketidakpercayaan dan iri hati.
Pada tahun-tahun yang lalu, Gereja tempatan juga senantiasa menekankan perlunya spiritualitas persekutuan. Siri ini dengan sedaya upaya cuba untuk menjadikan setiap usaha mempromosi persekutuan antara para pelajar. Spiritualitas persekutuan dapat dipromosikan dalam katekesis kita melalui:
- Para paderi, ibu bapa dan katekis, dimana dengan menghidupi spiritualitas persekutuan dalam kehidupan mereka seharian membantu para pelajar untuk melakukan perkara yang sama.
- Komuniti paroki yang merupakan tempat utama katekesis. Dengan memasukkan para pelajar ke dalam kehidupan komuniti paroki mereka akan mengalami hidup berkomuniti secara konkrit
METODOLOGI
Metodologi yang digunakan dalam Siri ini adalah berasaskan kepada garis panduan yang diberikan dalam General Directory for Catechesis (n. 148-162).
Setiap pelajaran mempunyai matlamat dan mengandungi komponan seperti berikut:
1. Pengalaman Hidup
2. Sabda Allah (Kitab Suci dan Tradisi)
3. Sahutan Iman
Setiap tiga komponan ini mengandungi objektif, yang dikenali sebagai hasil pembelajaran.
• Dengan MENAMAKAN PENGALAMAN HIDUP, para pelajar dibantu untuk menemukan dan mengongsikan pendapat-pendapat dan sikap-sikap mereka berdasarkan kepada pengalama mereka; mereka akan lebih menyedari diri mereka sendiri, diri orang lain dan dunia sekeliling mereka.
• Dengan MENGONGSIKAN SABDA ALLAH, para pelajar di bantu untuk mendengar Sabda Allah dari Kitab Suci dan dari Ajaran-ajaran Gereja dan memperkambangkan iman mereka.
• Dengan SAHUTAN IMAN, para pelajar dibimbing untuk membuat satu jawapan kepada Tuhan dan kepada orang lain secara peribadi, melalui doa dan perbuatan, agar mereka hidup sebagai murid-murid Yesus.
Pengunaan Metodologi
Dalam permulaan setiap pelajaran, katekis perlu membantu para pelajar menyedari kehadiran Tuhan ditengah-tengah mereka. Aktiviti-aktiviti dalam bahagian ini termasuklah doa pembukaan, lagu yang sesuai dan ucapan salam. Adalah penting juga para pelajar di bantu untuk mengimbas secara ringkas topik dan mesej utama yang telah mereka pelajari sebelumnya sebelum pelajaran baru diperkenalkan.
1. PENGALAMAN HIDUP
Mulakan pelajaran dengan menceritakan satu pengalaman hidup yang berkaitan dengan topik. Ini boleh disampaikan melalui cerita, menggunakan gambar, skesta, kegiatan dinamik kumpulan dan sebagainya. Pengalaman ini kemudiannya dikongsikan dan dibincangkan oleh katekis dan pelajar. Dengan cara ini katekis membantu para pelajar untuk lebih memahami Sabda Allah yang akan wartakan dalam bahagian seterusnya.
2. SABDA ALLAH (KITAB SUCI DAN TRADISI)
Katekis memperkenalkan petikan dari Kitab Suci berdasarkan pada topik pelajaran. Katekis menjemput para pelajar untuk mewartakan Sabda Allah sebagai Khabar Gembira yang mana melaluiNya Allah menampakkan diriNya. Katekis memberi peluang kepada para pelajar untuk merenung Sabda Allah yang diwartakan dan menggalakkan mereka untuk mengungkapkan pendapat, renungan ataupun pertanyaan-pertanyaan yang berkaitan dengan petikan tersebut. Katekis menjelaskan Sabda Allah tersebut dan membantu mereka untuk menyelami mesej utama pelajaran sebelum mengaitkan petikan tersebut dengan ajaran Gereja.
3. SAHUTAN IMAN
Dalam bahagian ini, katekis dan pelajar berusaha untuk mencari cara bagaimana mereka dapat menyahut datau menjawab Sabda Allah yang diwartakan secara konkrit. Sahutan ini mempunyai 2 fomat, doa peribadi atau doa komuniti dan tindakan. Ini adalah berMATLAMAT untuk membantu para pelajar untuk menyedari bahawa mereka harus mempraktikkan apa yang mereka pelajari dan mempercayai apa yang mereka pelajari. Adalah baik jika mereka dibantu untuk mengungkapkan jawapan mereka secara oral atau melalui penulisan.
Sebelum mengakhiri pelajaran, katekis memberi galakan kepada para pelajar untuk mengimbas kembali topik dan mesej utama pelajaran. Pertemuan diakhiri dengan satu aktiviti yang sesuai seperti doa atau menyanyiakan sebuah lagu yang berkaitan dengan topik. Aktiviti-aktiviti lain boleh dilakukan sekiranya masa mengizinkan.
BEBERAPA MAKLUMAT PENTING
1. MEMAHAMI PELAYANAN ANDA
Sebelum Yesus naik ke syurga, Dia memberi perintah kepada murid-muridNya, “Pergilah ke seluruh dunia, jadikan semua bangsa muridKu, baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus, dan ajarlah mereka melakukan segala sesuatu yang telah kuperintahkan kepada mu.” (Mat. 28:20). Sejak dari itu, Gereja begitu setia mewartakan khabar gembira dan menjadikan beribu-ribu lelaki dan wanita murid Yesus di seluruh dunia. Hari ini, kita sebagai anggota Gereja dicabar untuk meneruskan misi yang diamanatkan oleh Yesus. Kita dipanggil untuk menjadi murid dan mengajar orang lain untuk mengikuti segala apa yang telah diajarkan oleh Yesus. MATLAMAT utama katekesis bukan hanya membantu orang dewasa, belia dan kanak-kanak untuk memahami iman mereka tetapi yang lebih penting ialah membimbing mereka untuk lebih mendekati dan mempunyai hubungan yang lebih intim dengan peribadi Yesus Kristus.
2. MEMAHAMI PERANAN ANDA
Peranan anda sebagai katekis lebih daripada mengajar sekolah minggu. Tuhan telah memanggil anda untuk satu pelayanan istimewa, iaitu, membawa orang lain kepada Yesus dan menjadikan mereka murid-muridNya. Cara yang terbaik untuk melakukan ini ialah dengan menghidupi iman anda secara autentik melalui perkataan dan perbuatan. Dalam kata lain, lakukan yang terbaik untuk menjadi saksi Yesus dalam hidup anda seharian. Menjadi seorang saksi bererti anda telah melihat, mendengar dan mengalami sesuatu dalam diri seseorang, dan pengalaman ini mendorong anda untuk menjadi saksinya. Oleh itu, menjadi saksi Yesus bererti anda telah melihat, mendengar dan mengalami Yesus secara peribadi di dalam hidup anda. Dari sudut pandangan ini, anda bukan hanya mengajar iman dari buku atau mengajar satu subjek; anda mengongsikan sesuatu yang anda percaya benar dan baik. Kesaksian yang autentik akan berlaku apabila anda mempunyai hubungan yang intim dengan Yesus Kristus - melalui doa harian, membaca dan merenung Sabda Allah, ikut serta dalam perayaan Ekaristi dan perayaan-perayaan Liturgi yang lain, mewujudkan suasana persekutuan dalam keluarga dan di paroki serta berusaha untuk menegakkan keadilan dan kedamaian.
3. MEMAHAMI PELAJAR-PELAJAR ANDA
Para pelajar dalam tahap ini mula memasuki alam remaja. Pada dasarnya mereka bukan lagi kanak-kanak dan dalam masa yang sama mereka belum lagi layak untuk di gelar remaja. Mereka berada dalam satu tahap dimana mereka tidak mahu dianggap sebagai kanak-kanak (mereka tidak suka dilayan seperti kanak-kanak) walaupun pada hakikatnya mereka masih memerlukan kebenaran dan bimbingan dari ibubapa atau orang-orang tertentu (mereka merasa terbiar sekiranya tidak dapat perhatian yang sepatutnya mereka termia) satu perkara yang mereka perlu lakukan untuk tidak dianggap budak-budak adalah dengan meluangkan masa bersama dengan kumpulan mereka. Rakan sebaya adalah penting bagi mereka. Oleh itu, cara kita melayani mereka dihadapan kawan-kawan sebaya adalah penting kerana identiti diri merupakan aspek utama dalam hidup mereka.
Dalam peringkat ini mereka juga mula berfikiran logik. Mereka cuba untuk memahami iman mereka secara logik dan waras. Walaupun imaginasi masih memainkan peranan penting dalam mengenali iman mereka namun susah bagi mereka untuk memahami perkara-perkara abstrak. Keadaan ini mendorong mereka untuk mempersoalkan kebenaran ataupun faktor yang seolah-olah tidak logik dan tidak masuk akal bagi mereka. Mereka perlu dibantu untuk berfikiran logik dengan menjelaskan perhubungan antara fakta dan idea. Dalam menjawab soalan-soalan, elakkan dari memberi jawapan setiap masa, sebaliknya galakkan para pelajar untuk berfikir dan merenung sehingga mereka dapat memberi jawapan dan pendapat mereka sendiri.
Adalah sukar bagi mereka untuk mengerti bahawa Allah itu kasih apabila mereka tidak dapat melihat dan tidak merasainya dalam hidup mereka. Dalam peringkat umur ini mereka belajar dari apa yang mereka lihat dan alami dalam hidup mereka melalui interaksi mereka dengan orang lain, terutama sekali orang-orang yang penting dalam hidup mereka. Contoh yang kita berikan sebagai ibu bapa, penjaga dan katekis membantu mereka untuk memahami dan bertumbuh dalam iman mereka secara praktikal.
Pelajaran-pelajaran yang di sediakan di tahap ini melibatkan para pelajar di sepanjang pertemuan. MATLAMATnya adalah untuk membantu para pelajar untuk mengembangkan pemahaman mereka dengan topik tertentu secara logik sambil melibatkan mereka secara konkrit melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan, merenung petikan dari Kitab Suci, menjawab soalan-oalan dan menyuarakan pendapat-pendapat mereka. Dalam masa yang sama mereka dibimbing untuk memberi jawapan kepada iman yang mereka terima dalam setiap pelajaran.
4. INFORMASI LAIN
Persiapkan Pelajaran Anda
Anda tidak akan menjadi seorang katekis yang berjaya sekiranya anda berpendapat bahawa “idea akan turun dari langit”. Memang benar Tuhan akan memberikan kita inspirasi sebelum dan selepas mengajar, tetapi dalam masa yang sama anda perlu mempunyai persiapan sebelum anda memulakan katekesis anda. Sila rujuk buku teks pelajar dan panduan katekis dan fikirkan bagaimana untuk menjadikan pelajaran anda lebih menarik dan kreatif. Buku panduan ini hanya sebagai satu panduan. Ianya bergantung kepada anda untuk menjadikan kelas anda lebih menarik dan memberi kesan dalam hidup para pelajar. Anda bebas untuk menyediakan aktiviti-aktiviti selain dari apa yang tertulis dalam buku panduan ini, tetapi ia haruslah berkaitan dengan topik pelajaran. Bersiap sedia untuk menjawab soalan-soalan yang mungkin akan dikemukakan oleh para pelajar.
Bertanggung jawab dengan apa yang anda ajar
Adalah penting bagi anda untuk menyedari bahawa Allah yang telah memanggil anda dan di lantik oleh komuniti untuk menjadi katekis; oleh itu anda bertanggung jawab untuk mengajar hanya apa yang Gereja ajarkan. Dengan ini anda perlu tahu tentang Kitab Suci dan Ajaran-ajaran Gereja. Ambil inisiatif untuk mencari informasi tentang realiti-realiti yang berlaku dalam Gereja, dalam negara dan dalam dunia masa kini. Sekiranya anda tidak yakin tentang sesuatu informasi yang anda perolehi contohnya dari internet, sila rujuk dengan paderi paroki anda atau dengan koodinator komiti/komisi kateketikal di paroki atau di diosis anda.
Kerjasama
Ketahuilah bahawa anda bukan seorang diri dalam pelayanan ini. Oleh itu anda perlu berkerjasama dengan katekis-katekis yang lain, dengan paderi paroki, dengan ibu bapa dan dengan anggota-anggota Gereja yang lain di paroki anda. Setiap anggota Gereja mempunyai peranan di dalam mewariskan iman. Galakkan ibu bapa untuk lebih terlibat dalam pembentukan iman anak-anak mereka. Carilah jalan bagaimana untuk melibatkan mereka dalam pelayanan kateketikal.
5. SESI LUAR KELAS
Selain daripada 25 topik pelajaran adalah juga dicadangkan sekurang-kurangnya 5 sesi luar kelas di berikan. Sesi luar kelas ini akan melengkapkan perlajaran-pelajaran yang disediakan. Program ini juga berMATLAMAT untuk membantu para pelajar untuk mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari. Adalah dicadangkan agar satu sesi luar kelas di adakan selepas setiap unit selesai (lihat dalam isi kandungan) atau satu masa yang sesuai bagi anda. Sesi ini akan dilakukan mengikut kreativiti anda, tetapi harus berkait rapat dengan tema ”Allah Menyelamatkan UmatNya” Beberapa contoh aktiviti telah disediakan dalam buku ini tetapi adalah lebih baik jika anda sendiri menghasilkannya.
No comments:
Post a Comment