MESEJ DARI KOMISI KATEKETIKAL MALAYSIA UNTUK PERAYAAN HARI MINGGU KATEKATIKAL
(19 SEPTEMBER 2010)
TEMA: IBUBAPA SEBAGAI KATEKIS UTAMA
Renungan:
Hari ini Gereja merayakan Hari Minggu Katekatikal. Perayaan Hari Minggu Katekatikal mengingatkan kita akan betapa pentingnya katekesis. Para ibubapa, katekis, fasilitator Inisiasi Kristian Dewasa ( IKD) dan semua umat Kristian terlibat di dalam formasi orang-orang Kristian. Katekesis juga adalah bentuk pengajaran dan pewartaan iman. Ianya juga cara untuk membina Kerajaan Allah dikalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Sabda Yesus di dalam teks dari Injil Matius (28:19-20) mengingatkan kita akan tugas Kristiani kita.
“Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah. Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.”
Hari Minggu Katekatikal adalah merupakan hari yang dirayakan untuk menimbulkan kesedaran kepada kita terhadap perkara berkaitan dengan perkongsian iman dengan yang lain. Perayaan ini tidak terhad kepada para katekis dan fasilitator IKD, ianya perayaan untuk semua. Komisi Katekatikal Malaysia telah memilih “Ibubapa Adalah Katekis Utama” sebagai tema Hari Minggu Katekatikal 2010. Tema ini mengingatkan kita bahawa ibubapa adalah katekis yang utama. Bahagian pertama di dalam artikel 227 Direktori Umum untuk Katekesis (General Directory for Catechesis) sangat jelas tentang peranan ibubapa terhadap iman anak-anak mereka. Ianya berbunyi:
Ibubapa menerima di dalam sakramen Perkahwinan “rahmat dan pelayanan pendidikan Kristian bagi anak-anak mereka”, yakni kepada mereka disalurkan dan diberi kesaksian akan nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan.
Di sini kita juga diingatkan bahawa ibubapa aktif mendidik anak mereka melalui perkongsian iman dan terlibat penuh di dalam kehidupan sakramental Gereja. Sebagai katekis utama, ibubapa harus menggunakan katekesis keluarga untuk memperkayakan keluarga untuk membentuk Gereja domestik. Ibubapa harus ingat bahawa guru-guru Agama (para Katekis ) adalah “rakan sekerja” bagi tujuan mendidik anak-anak. Jangan lupa bahawa semua umat Katolik harus menjadi “katekis utama” kepada calon IKD sepertimana ibubapa Katolik kepada anak-anak mereka.
Tatkala kita merayakan Hari Minggu Katekatikal, mari kita mengingatkan bahawa semua umat Katolik ada peranan untuk dimainkan di dalam menggalakkan pertumbuhan iman sesama umat manusia. Maka, mari kita berdoa agar paderi, ibubapa, katekis, fasilitator IKD melayani Gereja di dalam pewartaan Khabar Baik. Biarlah kita melihat keberkesanan katekesis sebagai anugerah suci dari Allah dan maju ke hadapan untuk mewartakan kepada kita semua.
CADANGAN:
Di sini ada beberapa cadangan kepada paroki untuk merayakan Hari Minggu Katekatikal.
1. Mengadakan sesi dialog di antara ibubapa dan katekis.
2. Mempelawa ibubapa, pelajar katekismus untuk mengelolakan jamuan untuk para katekis. (Calon IKD juga boleh melakukan hal yang sama untuk fasilitator mereka)
3. Paroki mengadakan perkelahan/aktiviti luar untuk para katekis/fasilitator IKD
4. Memberi penghormatan kepada mereka (para katekis/fasilitator IKD) semasa Misa.
5. Pemberkatan khas semasa Misa
6. Memberi hadiah sebagai tanda penghargaan kepada para katekis/fasilitator IKD
7. Menjemput para katekis/fasilitator IKD untuk berkongsi sukaduka mereka sebagai pendidik iman
DOA PERMOHONAN (contoh)
Beberapa doa yang boleh ditambah kepada Doa Umat dalam Misa Kudus
Pemimpin: Yesus memanggil kita untuk pergi kepada semua bangsa, untuk mewartakan Injil-Nya dan membina Gereja-Nya. Mari kita memohon berkat Allah agar melalui doa dan persembahan kita, Khabar Baik Yesus dapat diwartakan kepada seluruh dunia. Kami mohon.
Pemimpin: Kami berdoa untuk para katekis dan fasilitator IKD agar mereka menjadi suatu daya pemacu bagi kami untuk menjalankan kehidupan Kristian kami. Kami mohon.
Pemimpin: Kami berdoa agar lebih ramai umat beriman tampil ke hadapan untuk berkongsi iman dengan yang lain sebagai katekis dan fasilitator IKD. Kami mohon.
Pemimpin: Kami berdoa agar kami hidup sebagai umat Kristian dengan mencontohi St. Robert Bellarmine, santo pelindung para katekis. Kami mohon.
Berkat Khas Untuk Para Katekis & Fasilitator IKD ( dalam Misa Kudus)
Paderi : Bapa yang Mahakuasa, sumber segala kebijaksanaan dan pengetahuan, Engkau mengutus Putera-Mu yang tunggal, untuk hidup di antara kami dan mewartakan pesanan cintakasih, keamanan dan harapan kepada semua orang. Di dalam Kebaikan-Mu yang Maha Agung, berkatilah saudara dan saudari kami, para katekis dan fasilitator IKD, yang telah menyerahkan diri mereka kepada Gereja. Kuatkan mereka dengan anugerah-Mu agar mereka mengajar dengan perkataan dan perbuatan akan kebenaran yang datang daripada-Mu. Doa ini kami mohon melalui Kristus, Tuhan kami. Amin.
Disediakan oleh : Friar Arul Mariadass, OFM (Komisi Katekatikal Malaysia)
No comments:
Post a Comment