Monday, August 9, 2010

Teologi Misi dan Penginjilan

Teologi Misi dan Penginjilan

Disampaikan oleh Fr. Boniface Kimsin
Pengerusi Komisi Kateketikal Malaysia
Pembimbing Retret Kateketikal Diosis Kota Kinabalu 2010 @ BTRC

1. Erti Umum Misi
Seseorang atau kelompok orang yang di suruh pergi ke suatu tempat untuk melaksanakan sesuatu tugas penting dalam jangka masa singkat atau panjang. Misalnya:

• Seseorang yang diutus untuk menghantar surat, sesuatu benda atau hadiah kepada seseorang atau ke suatu tempat.

• Seseorang atau sekelompok orang yang di hantar ke suatu tempat atau lokasi untuk melaksanakan sesuatu tugas atau operasi dalam jangka masa yang ditetapkan.

Orang tertentu yang diutus oleh tuan atau majikannya untuk menyampaikan suatu utusan atau pesanan penting kepada seseorang atau sekelompok orang.

• Seseorang yang diamanahkan untuk mewakili tuannya, dia menjadi mulut tuannya dan dia mempunyai kuasa dari tuanya.

• Seseorang yang diutus itu melaksanakan tugasnya itu menurut perintah tuannya dan tidak ada tujuan yang lain.

2. Apakah itu Misi?

2.1. Konsep Misi dalam Perjanjian Lama

Kitab Perjanjian Lama mengungkapkan bahawa Allah adalah asal dan sumber misi serta Dia merupakan titik permulaan dan akhir tujuan misi itu. Allah sendiri terlibat secara langsung dalam misi sebab Dialah yang memanggil, memilih dan mengutus orang-orang tertentu untuk melakukan kehendak-Nya. Allah mengutus dan memberi kuasa kepada para pilihannya untuk melakukan sesuatu tugas yang Dia amanatkan kepada mereka untuk mewartakan pertaubatan dan keselamatan. Mereka yang diutus itu juga mempunyai peranan sebagai seorang pengantara di antara Allah dan umatnya. Kita lihat beberapa peristiwa dalam sejarah penyelamatan konsep misi.
• Abram dipanggil dan diutus Allah ke tanah perjanjian dan Allah menyertainya dengan berkat yang berlimpah. Abram pergi menuruti perintah Allah (Kej 12).

• Musa telah dipanggil dan diutus Allah untuk membebaskan umat Israel dari perhambaan di Masir dan Allah menyertainya dengan tanda-tanda mukjizat. Musa menuruti apa yang di perintahkan Allah kepadanya walaupun menghadapi banyak cabaran dan kesulitan (Kel 3, 4, 5 & 7).

• Para malaikat adalah pengantara keselamatan, mereka dipanggil utusan Allah untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada umat Allah (Kel 23: 20-21; 33:2).

• Para nabi mereka dipanggil sahabat Allah. Mereka dipanggil dan diutus oleh Allah untuk menyampaikan pesanan atau sabdanya kepada umat Allah supaya mereka bertaubat dan setia kepada Allah (Yes 6:8-10; Yer 1:4-10; 7:25-26).

• Dalam buku Yunus menyatakan bahawa misi juga terbuka kepada orang-orang yang bukan Yahudi. Allah telah mengutus Yunus ke Niniwe untuk mewartakan pertaubatan kepada bangsanya dan mereka telah menerima keselamatan dari Allah.

2.1.1 Kesimpulan

• Misi merupakan pekerjaan Allah sendiri. Dialah yang mengambil inisiatif yang pertama dalam misi dengan memilih dan memanggil para utusan-Nya.

• Misi itu merupakan pengabdian total kepada Allah.

• Allah terlibat secara langsung dalam misi dengan menyertai para utusan dalam menghadapi cabaran dan kesulitan mereka dalam melaksanakan misi mereka.

• Misi adalah melakukan kehendak Allah dan setia terhadap sabdanya. Ianya berhubung kait dengan pewartaan sabda Allah yang membawah keselamatan.

• Para utusan bekerjasama dengan Allah maka misi menuntut kesetiaan dan pelayanan ikhlas.

• Pewartaan para utusan di sertai oleh tanda-tanda ajaib dari Allah.

• Misi itu bersifat universal sebab keselamatan itu adalah untuk semua orang.

2.2. Konsep Misi dalam Perjanjian Baru

Perjanjian Baru menyatakan bahawa Yesus Kristus adalah satu-satunya utusan agung dari Allah datang untuk mewartakan dan menghadirkan kerajaan syurga di dalam dunia. Seluruh Perjanjian Baru menyatakan dengan jelas sekali bahawa tumpuan misi itu adalah mengenai pewartaan tentang keselamatan yang dilaksanakan oleh Yesus Kristus melalui perkataan dan perbuatannya. Misi penyelamatan Yesus Kristus telah disempurnakannya melalui kematian dan kebangkitannya. Ini haruslah diwartakan oleh para murid-Nya sampai dia datang kembali pada akhir zaman.

2.2.1. Misi Yesus

Ajaran Yesus tentang misi boleh kita bahagikan pada empat tema utama dalam beberapa ungkapannya di dalam Injil.

• Ungkapan Yang mengutus aku: ianya menyentuh tentang yang mengutus dan yang diutus.

• Ungkapan Aku datang: menyatakan tugas yang diamanatkan kepadanya.

• Ungkapan Aku diutus: pemahaman Yesus tentang aktiviti dan skop misinya

• Pesanan dan hasil misinya adalah berkaitan dengan Kerajaan Allah.

a. Yang mengutus aku

Setiap misi pasti ada yang mengutus dan yang diutus. Dalam Injil sinoptik semuanya menyatakan “Sesiapa yang menyambut kamu menyambut Aku juga; dan sesiapa yang menyambut Aku, menyambut Dia yang mengutus Aku” (Mt 10:40; Mk 9:37; Lk 9:48). Dalam penyataan ini Yesus menyatakan tiga fakta yang berkaitan dengan misinya. 1) Adanya yang mengutus. 2) Dia sendiri yang telah diutus. 3) Ada identifikasi atau hubungan rapat di antara yang mengutus dan yang diutus.

Allah adalah titik tolak misi sebab Dialah yang mengutus Putera-Nya Yesus untuk melakukan kehendak-Nya. Misi itu adalah inisiatif Allah sendiri (Mt 11:27; Lk 10:22). Dalam Lukas 15 tiga perumpamaan mengenai inisiatif Allah sendiri dalam misi. Pertama, Allah di gambarkan sebagai gembala yang mencari domba yang hilang, kedua sebagai wanita yang mencari wang syiling yang hilang dan akhir sekali sebagai bapa yang berlari mendapatkan anaknya yang hilang. Dalam perumpamaan pesta perkahwinan, Allah di gambarkan sebagai raja yang berulang kali mengutus para hamba-Nya untuk pergi mengundang sebanyak mungkin tetamu ke perjamuan pesta itu (Mt 22:1-14; Lk 14:16-24). Maka bagi Yesus prioriti utama misinya adalah taat setia pada tugas yang di amanatkan oleh Allah Bapa kepadanya (Mt 26:42; Lk 22:42; Mk 14:36).

Dalam misinya Yesus menyatukan dirinya dengan Allah Bapa yang mengutus dia. Dalam Injil Yohanes, Yesus menyatakan bahawa dia memiliki pengetahuan, keputusan, kehendak, tindakan dan perkataan seperti Bapa (Yoh 5:19-24, 30; 6:38; 8:28-29; 12:49). Dalam sinoptik pula menyatakan kuasa yang ada padanya adalah kuasa Allah (Mt 12:9; Mk 2:28; Lk 6:5).

b. Aku datang

Penyataan ini menetapkan bahawa Yesus mempunyai status istimewa sebab dia datang dengan misi khusus. Kedatangan Yesus ada kaitannya dengan sejarah keselamatan yang dijanjikan di dalam Perjanjian Lama, dia datang untuk memenuhi janji keselamatan kekal (Mt 5:17; 22:40; Lk 4:21; ruj. Mt 26:28). Yesus tahu bahawa misi utamanya adalah untuk membawa keselamatan (Lk 19:10), untuk mewartakan pertaubatan dan kerajaan Allah (Mt 4:17; Mk 1:15).

c. Aku diutus

Lukas 4:43 menyatakan dengan jelas bahawa Yesus tahu dia diutus untuk mewartakan dan mengajarkan khabar baik atau dalam kata lain menginjil: “Berita baik tentang kerajaan Allah harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, sebab untuk itulah Aku diutus.” Misinya sebagai penginjil di gambarkan sebagai penabur benih sabda Allah dalam beberapa perumpamaan (Mt 13:37; Lk 8:1-21).

d. Kerajaan Allah

Fokus utama pewartaan Yesus dalam misinya adalah kerajaan Allah (Mt 4:17; Lk 4:43) dan kadangkala Injil atau khabar gembira (Mt 11:5; 26:13; Mk 8:35; 10:29; 13:10; 14:9; Lk4:18; 7:22). Kedua-dua istilah ini di gabungkan sebagai Injil kerajaan (Mt 24:14). Injil adalah sifat pesanan dan kerajaan mendefinisikan inti pesanan. Dalam ajaran Yesus menyatakan dimensi masa sekarang tentang kerajaan Allah dan apa yang dia lakukan atau misinya menyatakan kerajaan Allah (Mt 11:4-5; Lk 7:22). Misi Yesus membolehkan orang mengalami berkat kerajaan masa sekarang. Namun bahagian kedua ajarannya menyatakan kerajaan di masa depan di mana para muridnya akan mengalami sukacita dalam kesatuan dengannya di perjamuan syurgawi (Mt 8:11-12; 26:29; Mk 14:22; Lk 13:28-29; 22:18, 28-30).

2.2.2 Misi Para Murid

a. Sebelum Kebangkitan
Suatu petanda bahawa kerajaan Allah akan tersebar luas adalah kehadiran para murid yang mengikuti Yesus selama lebih kurang tiga tahun dalam misinya. Terutama sekali kedua belas rasul mereka telah dipanggil untuk tujuan khusus dan di persiapkan untuk misi (Mt 4:18-22; Mk 1:16-20; Lk 5:1-11). Sebagai persiapan mereka Yesus telah mengutus mereka untuk mempraktikkan pelayanan yang dia telah bentuk untuk mereka (Mt. 9:35-10:42; Mk 3:13-19; 6:7-13; Lk 9:1-6; 10:1-20). Ke 12 rasul telah diutus kepada kawanan yang tidak ada pemimpin (Mt 9:37) dan 72 murid diutus untuk mendahului dia mewartakan kerajaan Allah (Lk 10:1). Dalam kedua-keduanya pengutusan ini adalah di sebabkan keprihatinan Yesus terhadap keperluan rohani orang ramai. Untuk melaksanakan tugas mereka Yesus memberi mereka kuasa yang sama ada pada dia (Mt 10:1; Mk 3:15; 6:7; Lk 9:1). Mereka melakukan aktiviti yang Yesus laksanakan. Dalam kata lain mereka mengambil bahagian dalam misi Yesus di antara orang-orang Israel.

b. Sesudah Kebangkitan

Walaupun misi para murid sesudah kebangkitan bukanlah merupakan tumpuan ajaran Yesus sebelum kematiannya namun ada implikasinya. Misi yang bersifat universal Yesus nyatakan berkaitan dengan perwartaan Injil kerajaan di seluruh dunia (Mt 24:14; 26:13; Mk 13:10; 14:9). Kebangkitan telah menampilkan misi universal yang di nyatakan pada penghujung ke 4 Injil dan dalam Kisa para Rasul di mana Yesus mengutus para murid untuk pergi ke seluruh dunia untuk mewartakan Injil, menjadikan mereka muridnya, bersaksi dan mewartakan pengampunan dosa (Mt 28: 19; Mk 16:15; Lk 24: 47; Yoh 20:21-22; Kis 1:8). Sifat tugas atau misi mereka adalah untuk meneruskan pelayanan Yesus. Mereka haruslah mengajarkan apa yang Yesus telah ajar kepada (Mt24:20). Kerana kesetiaan para murid kepada ajaran Yesus maka misi telah berkembang.

2.3. Kesimpulan

• Dalam Perjanjian Baru misi adalah mengenai kerajaan Allah dan Yesus Kristus adalah utusan agung dan juga yang mengutus.

• Fokus misi adalah mewartakan Kristus sabda Allah dan menghadirkan Injil kerajaan Allah.

• Para rasul wujud kerana panggilan Tuhan untuk meneruskan misi Kristus.

• Merasul adalah panggil untuk semua para murid untuk turut serta dalam misi Yesus Kristus mewartakan dan menghadirkan kerajaan Allah.

• Roh Kudus memainkan peranan utama dalam misi Gereja dan kehadirannya mengujudkan Gereja sebagai komuniti umat beriman.

3. Konsep Penginjilan

3.1. Istilah

Istilah evangelisasi atau menginjil itu berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud pewartaan tentang khabar baik. Istilah ini digunakan dalam masa peperangan untuk mewartakan suatu kemenangan besar di kota-kota dalam bentuk surat yang diumumkan kepada orang ramai yang berhimpun untuk mendengarnya. Perkataan ini juga di gunakan untuk mengumumkan suatu sukacita dan ramalan untuk masa depan. Ia mempunyai unsur-unsur:

• Pembebasan dari musuh dan suatu kemenangan.

• Di selamatkan dari kuasa kejahatan.

3.2. Dalam Perjanjian Lama

Istilah evangelisasi di terjemahkan dalam bahasa Ibrani bissar yang bermaksud mewartakan berita sukacita (1 Raj 1:42), misalnya kelahiran seorang anak lelaki (Yer 20:13). Istilah ini menandakan penungguan suatu kemenangan besar dan permulaan era baru. Bagi orang-orang Israel ia adalah berkaitan dengan kemenangan Allah ke atas musuh-musuh mereka dan pewartaan tentang kehadiran kerajaan Allah di antara umat-Nya.

3.3. Dalam Perjanjian Baru

Istilah menginjil di gunakan sebanyak 24 kali dalam Injil sinoptik. Ungkapan pewartaan khabar baik dapat di simpulkan dalam Injil Lukas di mana Yesus mewartakan sabda Allah dari kitab Yesaya (ruj 61:1-2); “Roh Tuhan ada pada Ku oleh sebab Ia telah mengurapi Aku, untuk menyampaikan khabar baik kepada orang-orang miskin; dan Ia telah mengutus Aku memberitakan pembebasan kepada orang-orang tawanan, dan penglihatan bagi orang-orang buta, untuk membebaskan orang-orang tertindas, untuk memberitakan tahun rahmat Tuhan” (Lk 4:18-19).

Perjanjian Baru menyampaikan Yesus sebagai pembawa berita sukacita pewarta kerajaan Allah. Seluruh hidupnya merupakan pewartaan khabar baik sejak dari kelahirannya sehingga kematiannya itu memberi pesan dan mewartakan damai(Lk 2:10; Ef 2:17). Fokus Penginjilan dalam Perjanjian Baru adalah mengenai Kerajaan Allah yang di warta dan dihadirkan oleh Yesus melalui ajaran dan hidupnya.

Sesudah Pantekosta bermulalah aktiviti Penginjilan para rasul (Kis 2) dan titik permulaan pewartaan mereka adalah kematian dan kebangkitan Yesus Kristus membawa keselamatan (Kis 3). Pada mulanya tumpuan Penginjilan mereka adalah kepada orang-orang Yahudi dan sesudah itu beralih kepada orang-orang Yunani serta bangsa-bangsa yang lain. Penginjilan merupakan prioriti dan aktiviti utama dalam misi para murid (Kis 6:2-4, 7).

3.4. Kesimpulan

• Penginjilan adalah aktiviti yang menghidupkan dan merealisasikan misi.

• Fokusnya adalah pewartaan khabar baik yang di perkenalkan oleh Tuhan Yesus melalui ajaran dan hidupnya.

• Gereja wujud kerana Penginjilan yang di usahakan oleh para murid Yesus dan Gereja hanya dapat berkembang melalui misi Penginjilan.

• Menginjil bererti menyahut panggilan sebagai utusan Tuhan dan bekerja sama dengan Roh Kudus untuk menyebarkan khabar baik keselamatan yang di genapi oleh kematian dan kebangkitan Kristus.

4. Misi dan Penginjilan Menurut Konsili Vatikan II

Konsili Vatikan Kedua menjelaskan bahawa misi itu diwariskan kepada Gereja dari misi Allah Tritunggal Maha kudus. Ia menekankan bahawa misi itu merupakan tanggungjawab utama Gereja di dalam dunia sampai Tuhan datang kembali pada akhir zaman. Kegiatan misionari atau Penginjilan haruslah menjiwai Gereja sejagat dan setiap Gereja tempatan.

4.1. Misi dan Gereja tidak dapat Dipisahkan

Konsili Vatikan Kedua dalam Ad Gentes (dekri tentang kegiatan misi), menekankan bahawa Misi dan Gereja sangat berhubungan rapat dan keduanya tidak dapat dipisahkan. Ia memberi penekanan bahawa misi itu merupakan keutamaan dan dasar hidup Gereja. Ia menyatakan bahawa “pada hakikatnya semula jadi Gereja yang dalam ziarah adalah misionari, sebab ia berasal dari misi Putera dan misi Roh Kudus menurut rencana Allah Bapa” (AG 2). Ini bererti bahawa Gereja itu wujud oleh kerana misi Allah Tritunggal. Gereja itu telah diutus oleh Allah kepada para bangsa untuk menjadi “sakramen universal keselamatan” (AG 1; ruj LG 48). Dalam kata lain, Gereja itu wujud kerana adanya misi dan ia hidup untuk misi. Tanpa adanya misi Gereja tidak akan wujud dan berkembang. Misi itu merupakan nadi kehidupan Gereja sejagat dan Gereja tempatan.

4.2. Fokus dan Objektif Misi dan Penginjilan

Gereja diutus oleh Kristus untuk ikut serta sepenuhnya dalam misinya supaya ia menjadi sakramen keselamatan kepada dunia. Maka fokus dan objektif utama Gereja adalah mewartakan dan menghadirkan Injil kerajaan Allah kepada semua orang terutama sekali kepada mereka yang belum mengenal Kristus. Gereja menjadi realiti keselamatan dan terang kepada dunia dan ia mestilah hadir secara efektif dalam kehidupan manusia. Aktiviti utama misi Gereja adalah mewartakan Yesus Kristus sebagai satu-satunya Juruselamat manusia (ruj. 1Tim 2:4-5) dan pewartaan ini disertai dengan membentuk komuniti umat yang beriman (ruj AG 7). Dalam Ad Gentes dinyatakan bahawa “tujuan khas kegiatan misionari itu mewartakan Injil dan menanamkan Gereja di tengah bangsa-bangsa atau golongan-golongan, tempat Gereja belum berakar” (AG 6). Sebab Gereja itu adalah garam dunia dan terang dunia (ruj. Mat 5:13-14), ia dipanggil untuk menyelamatkan dan membaharui segala ciptaan, supaya segala sesuatu dibaharui dalam Kristus agar dalam dia semua orang menjadi satu keluarga dan umat Allah (AG 1). Pengutusan ini akan berterusan dan atas dorongan Roh Kudus Gereja harus menempuh jalan yang telah dilalui oleh Kristus sendiri iaitu melalui semangat kemiskinan, ketaatan, pengabdian dan pengorbanan. (AG 5& 6).

5. Misi Menurut Evangelii Nuntiandi (Bapa Suci Paulus VI, Penginjilan dalam dunia moden, 8 Disember, 1975)

5.1. Gereja Merupakan Badan Misionari

Gereja awal sungguh yakin bahawa ia telah menerima perutusan dari Kristus untuk mewartakan kerajaan Allah dan ia memahami dirinya sebagai badan misionari. Dalam perspektif inilah Gereja menjadi sangat bererti. Penginjilan merupakan panggilan dan identiti utama Gereja. Selain daripada misi ini Gereja tidak ada matlamat yang lain untuk dirinya (ruj. EN 14).

5.2. Gereja Mengutus Para Misionari

Untuk memenuhi misinya Gereja mempunyai tanggungjawab untuk mengutus para penginjil untuk mewartakan khabar baik keselamatan. Gereja yang dimanahkan oleh Kristus untuk meneruskan misinya juga mengutus para misionari untuk melaksana misinya. Gereja tidak dapat dipisahkan dari Kristus. Apa yang menjadikan Gereja itu adalah Gereja ialah kehadiran Yesus Kristus dalamnya. Gereja menjadi tanda kehadiran Kristus yang bangkit dan misinya di dunia. Secara khusus dia meneruskan misi Penginjilan Kristus di dunia (EN 15). Menginjil merupakan karya ekklesial (Gereja) ia bukanlah inisiatif personal oleh sesiapa. Setiap penginjilan dan seluruh aktiviti Penginjilan ada hubungannya dengan misi Gereja sejagat (EN 16).

6. Misi dan Penginjilan Menurut Redemptoris Missio

6.1. Roh Kudus Ajen Utama Misi

Dalam bab ketiga Redemptoris Missio (Misi Penyelamat, 7 Disember, 1990), Bapa Suci Yohanes Paulus II menjelaskan bahawa Roh Kudus merupakan ajen utama misi seluruh Gereja untuk menginjil sebab Ia hadir sejak penciptaan, dan dalam seluruh hidup dan misi Yesus. Dalam penginjilan para rasul Roh Kudus berkarya melalui mereka dan juga dalam diri orang-orang yang mendengar pewartaan mereka (ruj. Kis 10; 15; 16:6 dns). Roh Kuduslah yang memberi hidup kepada misi (RM 21). Maka oleh itu dalam segala aktiviti misi Gereja bekerja sama sepenuhnya dengan Roh Kudus. Tujuan akhir misi adalah membolehkan orang untuk ambil bahagian dalam kesatuan cinta kasih di antara Bapa dan Putera. Kesatuan di antara para murid yang tinggal dalam Bapa dan Putera merupakan kesaksian kepada dunia (ruj. Yoh 17:21-23). Roh Kudus diutus untuk membolehkan misi ini berterusan (RM 22).

6.2. Roh Kudus Pembimbing Misi Penginjilan Gereja

Misi Gereja itu merupakan misi Kristus sendiri, ia adalah karya Allah dan karya Roh Kudus. Kedatangan Roh Kudus pada hari Pantekosta menjadikan para rasul saksi dan nabi (ruj. Kis 1:8; 2:17-18). Roh Kudus memberi mereka keberanian untuk bersaksi tentang Kristus. Roh Kudus menyertai para murid dalam aktiviti misionari mereka ia bertindak sebagai pembimbing, pendorong dan penolong mereka dalam membuat pilihan dan keputusan (ruj. Kis 13:46-48; 15:5-11, 28). Tanpa bimbingan dan pertolongan Roh Kudus Gereja tidak akan berkembang (RM 24, 25).

6.3. Misi dan Penginjilan Harus Bermula dari Komuniti Umat Beriman

Pada hari Pantekosta Roh Kudus telah membentuk komuniti umat beriman yang pertama dan Gereja mula wujud di mana pewartaan Tentang Injil Yesus Kristus tersebar luas kepada pelbagai bangsa (ruj. Kis 2:42-47; 4:32-35). Sala satu tujuan utama misi adalah mengumpulkan orang untuk mendengar Injil memupuk semangat persaudaraan dalam doa dan Ekaristi. Mengamalkan hidup dalam semangat persaudaraan (Koinonia) bererti hidup “sehati dan sejiwa”(Kis 4:32). Misi haruslah bermula dari kesaksian cara hidup Kristian supaya dapat menyinari orang lain (RM 26). Misi merupakan komitmen komuniti, ia adalah tanggungjawab Gereja lokal (RM 27).

Bapa Suci Yohanes Paulus II memberi penekanan betapa pentingnya peranan Komuniti Kristian Dasar dalam penginjilan dan hidup mengereja. Beliau melihat bahawa KKD merupakan pusat yang baik untuk pembentukan Kristian dan karya misionari. Dia nyatakan bahawa “Kelompok-kelompok Kristian yang terdiri dari keluarga-keluarga yang tinggal berjiran berkumpul untuk berdoa, membaca Alkitab, mengadakan katekesis, berbincang bersama untuk menangani masalah sosial dan Gereja. Komuniti-komuniti ini merupakan tanda daya hidup dalam Gereja, sebagai alat pembentukan dan penginjilan, dan sebagai titik permulaan suatu masyarakat yang baru yang berdasarkan masyarakat pengasih dan penyayang

7. Misi dan Penginjilan Menurut FABC (Persidangan Federasi Para Uskup Asia)

7.1. Membangun Gereja Tempatan
FABC I (Taipei, Taiwan, 24 April 1974) menyatakan bahawa untuk mewartakan Injil di Asia di zaman sekarang kita mestilah menjadikan pesanan dan hidup Kristus benar-benar mendaging (incarnate) dalam minda dan kehidupan orang-orang tempatan. Fokus utama dalam penginjilan kita di Asia adalah membangun Gereja yang benar-benar tempatan (no. 9). Sebab Gereja itu merupakan realisasi dan menjadi darah daging pada Tubuh Kristus dalam hidup orang-orang tempatan (no. 10). Ini bererti secara konkrit Gereja berterusan berdialog dengan tradisi, budaya, agama – singkatnya dengan seluruh realiti kehidupan orang-orang tempatan. Gereja atau komuniti umat Allah mestilah hadir di tengah-tengah mereka di mana ia berkongsi dengan masalah, penderitaan, pergelutan, aspirasi, nilai-nilai, pemikiran, bahasa dan budaya mereka (no. 12).

7.2. Membangun Komuniti Iman

FABC III (Bangkok, Thailand, 28 Oktober 1982) menyatakan bahawa Gereja pada dasarnya merupakan suatu persekutuan (koinonia) berasaskan pada hidup Tritunggal (no. 7.1). Jemaat yang dikumpulkan oleh Injil dan Roh Kudus menjadi satu Tubuh Kristus (no. 7.2). Gereja adalah komuniti yang hidupnya disegarkan oleh sakramen-sakramen iman dan yang berpusat pada Ekaristi (no. 7.5). Ia merupakan komuniti yang benar-benar partisipatif dan bekerjasama di mana wujudnya perkongsian kurnia-kurnia, tanggungjawab, di mana bakat-bakat dan karisma-karisma diakui dan digunakan dalam pelbagai pelayanan dalam komuniti dan bersama bersaksi (no. 7.6). Ia merupakan komuniti yang benar-benar bersatu dengan pastornya, dengan uskup dan para paderi yang telah dipilih oleh Roh Kudus untuk memimpin Gereja (no.7.7). Ia adalah komuniti yang berhubung rapat dengan seluruh Gereja sejagat – Katolik (no. 7.8).

7.3. Cara Misi dan Penginjilan di Asia (FABC V, Bandung, Indonesia, 27 Julai 1990)

7.3.1. Pembaharuan Iman

Misi dan penginjilan mestilah bermula daripada pembaharuan iman akan kasih Allah yang begitu besar mengutus Putera-Nya Yesus Kristus ke dunia untuk menyelamatkan semua orang (Yoh 3:16). Melalui dia segala sesuatu telah diciptakan (Yoh 1:3; Ibr 1:2) (no.3.1.1). Ini bererti penginjilan haruslah bermula daripada penginjilan diri sendiri. Tanpa iman yang mantap akan penyelamatan Kristus dan hubungan yang intim dengannya aktiviti penginjilan tidak akan berhasil. Kristus adalah sumber iman Kristian maka oleh itu hubungan peribadi dan intim dengannya mestilah terjalin terlebih dahulu sebelum aktiviti penginjilan dapat diusahakan.

7.3.2. Kesaksian Hidup

Tumpuan utama misi dan penginjilan adalah orang dan ini bererti misi dan penginjilan itu haruslah merangkumi: keprihatinan terhadap orang dan keperluan mereka, sensitif terhadap kehadiran Allah dalam pelbagai budaya dan agama yang lain dan memberi kesaksian tentang nilai-nilai kerajaan Allah melalui semangat solidariti dan perkongsian. Dalam konteks ini misi dan penginjilan itu merupakan dialog dengan orang miskin, dengan budaya tempatan dan dengan agama-agama yang lain di Asia (no. 3.1.2). Maka oleh itu di Asia inkulturasi dan dialog antara agama haruslah menjadi bahagian penting dalam aktiviti misi dan penginjilan. Tanpa adanya inkulturasi dan dialog antara agama Gereja tidak dapat mendaging di dalam masyarakat tempatan.

7.3.3. Cara Baru Menggereja

Gereja di Asia haruslah menjadi suatu perpaduan di antara komuniti-komuniti, di mana umat awam, para religius dan para paderi saling mengakui dan menerima satu sama lain sebagai saudara-saudari. Mereka dikumpulkan oleh sabda Allah menghadirkan Tuhan yang bangkit yang membimbing mereka untuk membentuk komuniti Kristian dasar. Mereka hidup dalam persaudaraan dalam doa, perkongsian Injil, bekerjasama, saling menyokong dan hidup dalam cinta kasih “sehati dan sejiwa” (no. 8.1.1). Melalui hidup berkomuniti nilai-nilai Injil dapat diserapkan pada akar umbi umat Kristian dan seluruh umat dapat ambil bahagian dalam membangun Gereja tempatan yang lebih bersifat partisipatif (no. 8.1.2). Melalui hidup berkomuniti umat dapat bersaksi bersama akan kehadiran Tuhan yang bangkit dalam masyarakat dan sekali gus menjadi tanda kehadiran kerajaan Allah dalam dunia (no. 8.1.3; 8.1.4).

Penutup

Misi dan penginjilan itu merupakan suatu proses yang berterusan sampai Tuhan datang kembali pada akhir zaman nanti. Dalam proses yang berterusan ini cara dan teknik dalam melaksanakan misi dan Penginjilan akan sentiasa berkembang dan berubah menurut kesesuaian situasi dan zaman. Namun demikian tujuan dan objektif utama misi dan penginjilan tidak akan berubah untuk selama-lamanya. Walaupun ada beberapa ahli teologi moden yang mempunyai pandangan progresif mulai mengetepikan tujuan dan objektif utama misi.

No comments: